“Soalan Bila Nak Hamil Itu Kurang Adab, Tak Semudah Order Nasi Goreng Kampung”

Setiap pasangan yang berkahwin pasti impikan cahaya mata sebagai pelengkap sesebuah rumah tangga. Namun tidak semua pasangan diberikan rezeki dengan cepat, malah ada yang menunggu bertahun-tahun untuk mendapat zuriat.

Bagaimanapun, masyarakat kita seolah tidaka peka sehingga sering bertanyakan soal mengenai kehamilan pada pasangan yang belum lagi bergelar ibu.

Perkara itu turut mendapat perhatian ahli farmasi dan juga influencer, Siti Awe yang turut berdepan situasi sama apabila belum dikurniakan rezeki untuk mendapat cahaya mata selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga.

Akui pernah tersinggung diajukan soalan berkenaan, Siti Awe menyifatkan soalan tersebut kurang adab dan tidak mempunyai sensitiviti. Soalan tersebut tidak perlu ditanya kerana ia mungkin membuatkan seseorang itu terguris hati.

Ujarnya, bayangkan apa perasaan seorang wanita dan pasangan itu jika sudah berhabis banyak untuk melakukan rawatan IVF namun belum lagi diberikan rezeki atau keguguran pasti hati mereka terluka.

Perkongsian Siti Awe itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mengatakan setiap manusia rezeki mereka berbeza. Mungkin pasangan itu belum dikurniakan rezeki anak tapi diberi rezeki dapat solat berjemaah bersama-sama.

Dalam pada itu, ada yang berkongsikan pengalaman sendiri yang sering terasa hati apabila diajukan soalan berkenaan sehingga merasa rendah diri dan kecewa. kerana belum mempunyai cahaya mata sendiri.