Sejak semalam hangat diperkatakan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal dalam bahasa Mandarin. Menurut SPRM, ia bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina di negara ini.
Menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, portal versi bahasa Mandarin itu bertujuan untuk memudahkan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.
“Kemudahan terbaru ini diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina terhadap SPRM serta agenda antirasuah, di samping menyebar luas mesej pendidikan pencegahan rasuah,” katanya.
KENYATAAN MEDIA SPRM
SPRM LANCAR PORTAL BAHASA MANDARIN pic.twitter.com/kBQ37dR33p
— SPRM (@SPRMMalaysia) September 18, 2020
Bagaimanapun, tindakan SPRM memperkenalkan portal dalam versi bahasa lain itu menimbulkan rasa kurang senang rakyat Malaysia dan juga netizen yang mempersoalkan perkara itu.
Menerusi ruangan komen Facebook rasmi SPRM, rata-rata netizen bertanyakan keperluan untuk memperkenalkan portal versi bahasa Mandarin itu kerana jika mahu bertindak adil perlulah hasilkan portal untuk semua bahasa termasuklah bahasa Tamil.
Netizen turut mengkritik SPRM dengan bertanyakan sejak bilakah bahasa Mandarin boleh digunakan untuk memudahkan urusan dan tertanya-tanya adakah masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris.
Kata netizen lagi, semua rakyat Malaysia sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memahami dan fasih berbahasa kebangsaan. Seorang netizen turut meminta SPRM tidak cuba memalukan Malaysia dengan tindakan itu.
Dalam pada itu, netizen berharap pihak menteri peka tentang berkenaan perkara berkenaan kerana tiada keperluan untuk membuat portal dalam bahasa Mandarin. Ujar netizen lagi, tidak mustahil jika selepas ini akan ada kaum lain menuntut hak untuk mempunyai portal bahasa mereka.
SUMBER: SPRM