Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai sindket Macau Scam yang menggunakan populariti artis untuk menjalankan kegiatan ‘mencuci’ duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.
Terbaru, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata terdapat beberapa selebriti dan ahli perniagaan yang berada dalam radar agensi sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.
Enggan membuat spekulasi atau kenyataan siapa yang akan dipanggil pula selepas ini untuk memberi keterangan, bagaimanapun Azam meminta individu yang pernah menerima wang daripada mereka yang ditahan tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil, namun siapa yang makan cili pasti rasa pedas.
“Mereka yang mungkin pernah menerima (dana) daripada individu yang ditahan itu diminta tampil sebelum mereka dipanggil. Tidak perlu tunggu untuk dipanggil sebaliknya tampil beri kerjasama kepada kami dan kami akan melayan mereka dengan baik,” katanya.
Kata Azam lagi, beliau berharap orang ramai bersabar kerana SPRM masih lagi mengesan banyak aset yang dipercayai sudah digubah.
“Dalam siasatan ini didapati beratus-ratus syarikat ‘dummy’ yang sengaja diwujudkan untuk menyalurkan wang haram ini,” katanya.
Dalam pada itu, Azam berkata pihaknya sudah mempunyai senarai nama selebriti untuk hadir bagi memberi keterangan dan bantu siasatan kes berkenaan.
SUMBER: Harian Metro