Suami Gilis Kaki Anak Guna YSuku, Puncanya Gaduh Dengan Isteri

Seorang lelaki dipenjara lima tahun selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menggilis kaki anak lelaki tirinya berusia 10 tahun menggunakan motosikal.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Ramlan Abdul Karim, 32, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak tiri berumur 10 tahun menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Dalam kejadian minggu lalu kira-kira jam 11.10 malam, tertuduh ketika itu berada di atas motosikal telah bertengkar dengan isterinya membabitkan hal perceraian di hadapan rumah mereka.

Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya itu selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

SUMBER: Utusan