Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini ada sahaja masalah rumah tangga tular di media sosial lebih-lebih lagi melibatkan kekerasan.
Seperti kisah yang tular baru-baru ini, seorang wanita berkongsikan video memaparkan suaminya menghampiri keretanya serta memecahkan cermin.
Lebih membimbangkan, ketika itu anaknya berada di tempat duduk penumpang hadapan menangis mungkin takut atau terkejut dengan kejadian berlaku dihadapan matanya. Bagaimanapun, tidak ada sebarang kecederaan berlaku.
Menurut wanita itu, pada awalnya suaminya memaklumkan ingin memberi duit belanja kepada anak-anak, namun lelaki berkenaan bertindak agresif apabila melihat tingkap kereta hanya dibuka sedikit sahaja.
Wanita itu menjelaskan dia berbuat demikian kerana sebelum ini suaminya pernah membawa lari dokumen penting apabila tingkat dibuka penuh.
Ujarnya, disebabkan kejadian itu dia lebih berhati-hati dan hanya membuka tingkap sedikit sahaja namun tidak sangka perkara lebih teruk berlaku.
Jelasnya lagi, dia kini dalam proses bercerai dengan suami dan sudah tidak duduk sebumbung sejak April lalu.
Perkongsian wanita itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut berang melihat tindakan lelaki itu yang bertindak agresif di hadapan anak-anak.
Malah, ada yang bimbang bagaimana jika kaca pada cermin itu terkena pada anak-anak. Dalam pada itu, ada yang meminta wanita itu supaya membuat laporan polis untuk pastikan kejadian sama tidak berulang.
SUMBER: Facebook Amira Nabila