Baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial apabila tular video berlaku di Tanah Merah, Kelantan, memaparkan seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai dari dalam kereta.
Dalam kejadian itu, kereta yang dinaiki wanita berkenaan berhenti di sebuah jambatan sebelum membuang sampah yang didakwa barang-barang berkait perubatan tradisional membuang saka.
Terbaru, suami kepada wanita tersebut tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kesalahan tersebut serta menjelaskan apakah ‘sampah’ yang dibuang di sungai tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian, sampah dalam dua plastik berwarna biru itu mengandungi limau purut, limau nipis dan dua botol kecil didakwa hasil selepas menerima rawaran perubatan tradisional.
“Jadi pada hari kejadian, kami baru pulang berubat dengan seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Krai dan mandi dengan limau purut serta limau nipis tersebut sebelum memasukkan ke dalam plastik yang kemudian dibuang ke sungai deras seperti disuruh,” katanya.
Menurutnya lagi, dia dan isteri serta bayi perempuan mereka berusia setahun tujuh bulan dengan ibu mentua berusia lewat 60-an mengalami sakit misteri sejak Mac lalu.
“Isteri saya kerap pengsan dan kadangkala kerasukan, manakala bayi kami pula menangis tidak henti dari tengah malam sehingga Subuh hampir setiap hari. Ibu mentua dan saya pula sakit-sakit pada anggota badan tanpa sebab,” katanya.
Lelaki itu berkata lagi mereka sekeluarga sangat tertekan susulan tindakan mereka itu menerima reaksi negatif daripada netizen dan mengakui kesilapan mereka.
SUMBER: Sinar Harian