Sukarelawan Rumah Bonda Nafi Adik Bella Degil, Agresif

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai seorang remaja Sindrom Down berusia 13 tahun, Adik Bella yang ditemui dalam keadaan menyayat hati dipercayai akibat didera. Malah, di media sosial trending #justiceforBella dan ramai menggesa pelaku dikenakan hukuman.

Umum mengetahui, petang semalam Rumah Bonda yang terletak di Jalan Kukuban, Kuala Lumpur dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella, melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu.

Kesemua kanak-kanak berkenaan ditempatkan di bawah pusat kebajikan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut laporan Harian Metro, hanya Bella sahaja yang mempunyai kesan dera, manakala lima kanak-kanak lain tiada sebarang tanda.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata, menurut wanita berusia 28 yang mengendalikan rumah kebajikan itu mendakwa Bella sukar mendengar kata dan degil.

“Dia mendakwa Bella kerap mengacau adik yang lain dan kesan parut pada tangan kanak-kanak itu akibat tumpahan air panas, selain Bella didakwa akan mengopek keruping luka dan menyebabkan ia sukar sembuh,” katanya.

Bagaimanapun, Che Samsuzuki berkata timbul keraguan apabila pengurusan rumah jagaan itu tidak membawa kanak-kanak terbabit ke hospital untuk rawatan.

“Menjawab itu wanita berkenaan dakwa dia bimbang dituduh mendera jika membawa Bella ke hospital. Bagaimanapun, kita sudah serahkan kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut berikutan terdapat kesan luka lama dan baharu,” katanya.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, guru yang terkenal dengan aktiviti kebajikan, Mohd Fadli Salleh berkongsikan luahan hati sukarelawan Rumah Bonda dikenali sebagai Mummy menafikan dakwaan Bella seorang yang degil dan agresif.

Sempat menjaga Bella selama empat bulan, Mummy berkata Bella seorang yang ceria dan penyayang. Katanya dakwaan Bella sukar dikawal dan suka sakitkan diri tidak boleh diterima akal.

Kata Mummy lagi, Bella sangat sayangkan budak-budak dan seorang yang sangat patuh. Ujarnya, sesiapa yang mengenali Bella apsti akan menafikan dakwaan tersebut.

Menurut wanita itu lagi, dia berharap pihak polis mengambil tindakan segera dengan menahan suspek utama apatah lagi masih ada anak-anak lain di bawah jagaannya.

SUMBER: Facebook Mohd Fadli Salleh