Sultan Johor Kurnia 10 Myvi Buat Jururawat Wad Diraja HSA Sebagai Tanda Penghargaan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sememangnya dikenali sebagai seorang sultan yang sangat berjiwa rakyat dan sering mengambil berat tentang kebajikan rakyat. Jadi tidak hairanlah jika baginda antara sultan yang sangat disenangi rakyat.

Sultan Ibrahim hari ini berkongsikan perkhabaran gembira apabila berkenan mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi baginda, pengurniaan sepuluh unit MyVi berwarna biru itu adalah bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat para jururawat kepada baginda dan keluarga diraja Johor.

Salah seorang penerima yang juga merupakan penyelia Jururawat, Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan baginda serta keluarga,” katanya.

Kesemua kereta MyVi itu diserahkan dalam satu majlis yang diadakan di Larkin, Johor Bahru.

SUMBER: Harian Metro