Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sememangnya dikenali sebagai seorang sultan yang sangat berjiwa rakyat dan sering mengambil berat tentang kebajikan rakyat. Jadi tidak hairanlah jika baginda antara sultan yang sangat disenangi rakyat.
Sultan Ibrahim hari ini berkongsikan perkhabaran gembira apabila berkenan mengurniakan kereta kepada Pengarah Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kakitangan Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi baginda DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, pengurniaan itu adalah sebagai penghargaan atas dedikasi, komitmen serta profesionalisme yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.
Pengarah Hospital Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma, Dr. Ismail Jumali dan Pegawai Perubatan Unit Kardiotorasik Anestesia, Dr Mohd Firdaus Shamsuddin masing-masing teah menerima sebuah Proton baharu X70.
Manakala Ketua Penyelia Jururawat Sarinah Sukor dan Penyelia Jururawat Fauziah Sulaiman, masing-masing telah menerima sebuah Perodua Myvi.
Kenderaan yang dikurniakan telah diserahkan oleh Dato’ Perdana Dalam, Kolonel (B) Dato’ Mohamed Perang Musa selaku wakil kepada Baginda Tuanku Sultan Ibrahim.
Sebelum ini baginda mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat para jururawat kepada baginda dan keluarga diraja Johor.