Sungguh Bahaya, Bongkah Konkrit Pula Jatuh Di MRR2, Pengguna Lebuh Raya Trauma

Baru-baru ini, hangat diperkatakan mengenai kes kemalangan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) hingga menyebabkan kematian.

Terbaru, satu bongkah konkrit berbentuk segi empat jatuh ke jalan raya telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas Hillview menghala ke Ampang.

Kejadian jam 7.45 pagi itu telah mengakibatkan trafik sesak ketika orang ramai sibuk keluar untuk ke tempat kerja.

Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) menafikan bahawa kejadian itu berpunca daripada pihaknya.

Jelas mereka lagi, bongkah terbabit jatuh daripada sebuah lori dan bukannya daripada projek yang dijalankan oleh pihak SUKE. Difahamkan, bongkah tersebut telah dialihkan 55 minit kemudian dan trafik kembali lancar.

Bagaimanapun rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang dan trauma untuk menggunakan jalan terbabit, lebih-lebih lagi terpaksa melalui jalan itu untuk ke tempat kerja.