Tak Bagi Isteri Bekerja, Hulur RM100 Sebulan Untuk Nafkah & Keperluan 2 Orang Anak

Tugas sebagai seorang suami wajib menyediakan buat isteri dengan menyediakan makanan dan pakaian serta tempat tinggal. Bagaimanapun, ada segelintir lelaki mengambil remeh soal nafkah isteri.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter bernama Maisarah berkongsikan kisah melibatkan adik rakannya yang mengadu suami tidak membenarkannya untuk bekerja sejak berkahwin dan kini mempunyai dua orang anak.

Lebih mengejutkan, dia hanya diberikan wang berjumlah RM100 sebulan untuk membeli keperluan rumah dan duit tersebut termasuk dengan nafkah. Malah, si isteri dimarah oleh suaminya apabila meminta izin untuk bekerja dan dikatakan tidak bersyukur.

Kata Maisarah, dia bukan mahu menjaga tepi kain orang tetapi didatangi oleh wanita berusia 25 tahun itu yang mahu bertanyakan mengenai soal hibah untuk anak-anaknya.

Dalam pada itu, Maisarah turut menasihati wanita di luar sana supaya bekerja terlebih dahulu dan mempunyai simpanan sendiri. Jika mahu berkahwin, bincang dengan bakal suami mengenai kewangan sama ada masih boleh terus bekerja atau tidak.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut terkejut dengan jumlah nafkah diberikan apatah lagi dengan harga barang yang mahal.

Kata netizen lagi, harga susu anak sekarang pun sudah mencecah RM100 apatah lagi jika mempunyai dua orang anak. Netizen berkata jika tidak mampu, tiada salahnya untuk benarkan isteri bekerja untuk membantu keluarga.

Dalam pada itu, ada segelintir netizen meluahkan rasa bimbang untuk berkahwin selepas pelbagai kisah didengari melibatkan hal rumah tangga.

SUMBER: Kisah Dunia