Tak Mampu Bayar Kompaun RM50,000, Peniaga Rela Kedai Runcitnya Diambil Sebagai Ganti

Sejak beberapa hari lalu, hangat diperkatakan apabila ada beberapa peniaga meluahkan rasa kecewa dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar SOP ketika Perintah KawalanPergerakan (PKP).

Belum reda lagi dengan isu peniaga burger, seorang peniaga kedai runcit di Kota Bharu turut dikompaun dengan nilai yang sama atas kesalahan kesalahan beroperasi lebih masa.

Tidak mampu untuk membayar kompaun tersebut, peniaga berkenaan Mansah Marjurin rela memberikan kedai runcitnya sebagai ganti untuk membayar denda tersebut.

Katanya lagi, dia kini berdepan masalah masalah kewangan apatah lagi bayaran rumah juga sudah tertunggak sejak tujuh bulan lalu, selain sebuah kereta ditarik pihak bank sejak PKP.

Berkongsi cerita tentang kejadian pada jam 11.40 malam pada Ahah lalu itu, dia didatangi empat anggota polis dimana ketika itu kedai runcit miliknya sudah ditutup namun hanya pintu kecil tidak berkunci ketika itu ada saudara datang berkunjung.

“Memang saya sudah tutup kedai dengan semua pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah jelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup, namun tetap disaman RM50,000,” katanya ketika ditemui hari ini.

Akui terkejut dengan jumlah kompaun dikenakan, Mansah berkata endapatannya hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri yang tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum tampil membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam keadaan terkejut. Mungkin hari ini saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya akan meneliti semula kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga, termasuk seorang peniaga burger pada Ahad lalu.

SUMBER: BH Online