Perkongsian di Facebook oleh pendakwah terkemuka, Datuk Ustaz Kazim Elias menjadi perhatian apabila memuat naik gambar memaparkan tangannya ditumbuhi beberap ketulan kecil.
Dalam perkongsian terbaru, Ustaz Kazim berkata dia selama ini beliau menyimpan tentang keadaan dirinya namun kini beliau tidak boleh rahsiakan lagi.
Menerusi entri itu, Ustaz Kazim turut memuat naik gambar keadaan wajahnya dimana luka akan terjadi dengan sendiri di seluruh badan hingga mengeluarkan darah.
Ujarnya lagi, selama ini beliau sembunyikan dengan tampalan apabila muncul di khalayak ramai. Jelasnya lagi, gambar lengannya sebelum ini yang dikongsikan kepada umum itu adalah apa yang terjadi pada tubuh badannya.
Disebabkan keadaan tersebut, beliau mengalami gatal-gatal, pedih dan tidak boleh tidur sejak berbulan lalu.
“Saya rasa saya perlukan pertolongan untuk sesiapa baik doktor atau daripada perubatan alternatif untuk merawat saya.
“Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tak boleh lagi saya sorok. Saya tidak boleh tido seharian sejak berbulan yang lepas. Saya bimbang dengan keadaan saya ini akan menghilangkan saya dari dunia dakwah saya,” tulisnya.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim berkata meskipun sakit namun beliau tetap menerima semua jemputan ceramah dan program.
“Kadang-kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung.
“Walau kadang-kadang dilabel sombong kerana tak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu-dulu, tetapi tetap saya tabahkan hati sebab saya tahu orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya,” katanya.
Dalam perkongsian itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepadanya.
“Saya dah berusaha berubat di banyak tempat tapi belum diberi keizinan oleh Allah. Mungkin ada di kalangan tuan/puan yang boleh membantu saya maka dengan itu saya siarkan gambar lengan effect khas itu sebagai kiasan.
“Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya mengguris hati anda,” tulisnya.