Tak Minta Izin Suami Untuk Bekerja, Isteri Parah Ditikam Suami

Seorang isteri menjadi mangsa tikaman suami di Baling, Kedah gara-gara tidak meminta kebenaran suami untuk bekerja. Mangsa berusia 36 tahun yang merupakan seorang pekerja kilang dilaporkan cedera parah.

BACA: Bunuh Isteri Hamil Dan Anak Empat Tahun, Lelaki Ini Dihukum Mati

Menurut laporan Kosmo!, mangsa pada mulanya didakwa bertengkar dengan suaminya berusia 33 tahun di luar rumah sebelum berlanjutan ke bilik di dalam rumah.

“Suspek terus masuk ke dalam bilik isterinya dengan memegang pisau pendek dan berlaku pergelutan sebelum suspek dilihat keluar dari bilik tersebut untuk melarikan diri.

“Ibu mangsa kemudian masuk ke dalam bilik berkenaan dan mendapati anaknya mengalami cedera di perut,” kata Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali kepada portal tersebut.

Tambahnya lagi, mangsa ditikam sebanyak 2 kali dengan kedalaman tikaman kira-kira tiga sentimeter. Punca pertengkaran dipercayai terjadi selepas suspek berang dengan tindakan mangsa bekerja di sebuah kilang di Kulim dekat sini tanpa memberitahunya terlebih dahulu sebagai seorang suami.

Tambahnya, suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.