Tak Pernah Minta Disamakan, Gadis Ini Terasa Hati Dikata Hanis Zalikha ‘Versi Hitam’

Benarlah pendapat popular mengatakan bahawa di seluruh dunia ini wujud tujuh orang dikatakan menyerupai wajah kita.

Lebih bangga jika wajah seseorang individu itu sama seperti selebriti. Namun, jika menyamakan wajah seseorang tetapi dengan niat menghina, itu adalah perkara salah.

Seperti gadis berusia 23 bernama Nur Fatihah Kamal ini berkata dia sering disamakan dengan pelakon Hanis Zalikha sejak lapan tahun lalu.

Namun, Fatihah akui terasa hati apabila dikatakan Hanis Zalikha ‘Versi Hitam’. Ujarnya, dia sendiri tidak pernah mendakwa wajahnya sama dengan pelakon itu.

@tiyakamalReply to @candygurl211 thank u 🥲##fyp ##fypシ ##tiktokmalaysia ##foryourpage

♬ original sound – Tiyakamal

“Bukan saya tak suka orang samakan dengan Hanis Zalikha tapi kenapa perlu tambah ‘versi hitam’ mestilah saya terasa,” katanya.

Fatihah berkata dia terpaksa berdepan dengan kritikan tersebut sejak dibangku sekolah lagi dan tidak pernah minta disamakan dengan Hanis.

“Saya sebenarnya tak ada masalah pun cuma kadang-kadang saya akan rasa down dan hilang keyakinan diri bila mereka buat perbandingan melampau.

“Bukan saja mereka kutuk kulit gelap saya, malah masa berat saya 79kg ada yang cakap kalau saya putih dan kurus mesti cantik macam pelakon tu, maksudnya diri saya sebenar ni tak cantik ke?

“Dengar macam biasa tapi bila ia ditujukan kepada saya mestilah saya terasa. Itu dah kira mempersendakan. Nak samakan atau nak puji silakan tapi tak perlu tambah ayat menyakitkan hati,” katanya.

Lebih menyedihkan gadis itu berkata dia pernah dipulaukan oleh rakan-rakan kerana dianggap sombong kerana mempunyai wajah seiras dengan artis.

“Ini realiti. Saya banyak hilang kawan. Mereka cakap saya sombong dan bangga muka macam artis. Saya sendiri tak pernah rasa saya macam tu, mungkin mereka menilai dari luaran,” katanya.

Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) ini mengakui dia akan segera memadam komen-komen negatif dan kini banyak belajar bersabar untuk mengabaikan segala kritikan.

“Dulu banyak komen negatif dan saya akan cepat-cepat padam supaya saya dah tak baca. Alhamdulillah sekarang dah kurang sikit. Cuma kalau secara bersemuka saya masih terima kata-kata macam tu.

“Dulu memang kurang keyakinan diri tapi bila mak bagi kata-kata semangat saya bangkit dan buat apa sahaja tanpa malu,” katanya.

SUMBER: mStar Online