Tidak dinafikan ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada yang hilang pekerjaan susulan pandemik Covid-19. Lebih menyedihkan, banyak perniagaan terkesan sehingga terpaksa gulung tikar.
Kosmo melaporkan, seorang lelaki ditemui tergantung di dalam sebuah bengkel motosikal di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Masjid Tinggi, Bagan Serai malam tadi.
Mangsa, Tan Hock Meng, 60, ditemui isterinya dalam keadaan tergantung dalam bengkel miliknya selepas tidak pulang ke rumah dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Sumber memberitahu, mangsa bercadang untuk menjual bengkelnya minggu ini kepada seorang pembeli dan meminta masa untuk mengemas barang-barang yang terdapat di dalam bengkel tersebut.
Difahamkan, kedai motosikal yang diusahakan mangsa sudah tidak beroperasi sejak tiga bulan lalu dan bercadang untuk menjual kedainya pada harga RM10,000.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat. Pihak polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
SUMBER: Kosmo!