Tak Siap Kerja Sekolah, Murid Cedera Dipukul Di Muka & Lengan

Baru sahaja beberapa bulan sesi persekolahan bersemuka dibuka, kecoh di media sosial apabila murid darjah 3 didakwa dipukul guru sekolah di Kuala Kedah gara-gara tidak menyiapkan kerja sekolah.

Akibat daripada itu, murid berusia 9 tahun itu didakwa cedera muka dan badan. Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Setar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan itu berkata murid lelaki terbabit dipercayai mengalami kecederaan pada lengan dan jari kiri serta muka.

Berdasarkan laporan, ibu mangsa mendapati terdapat kecederaan pada badan dan muka anaknya ketika menjemput anaknya pulang dari sekolah.

Mangsa memaklumkan bahawa gurunya memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sebelum ini, ibu mangsa memuat naik gambar di Facebook menunjukkan beberapa kesan kecederaan pada anggota badan anaknya hingga tular.