Dipenuhi dengan timbunan plastik, kotak-kotak, tin kosong dan sisa makanan, sekali pandang tidak ubah seperti tapak pelupusan sampah. Namun siapa sangka ia ruangan hadapan sebuah rumah yang didiami oleh warga emas yang merupakan cikgu pencen.
Dipercayai mempunyai masalah mental, wanita berusia 60-an itu dikatakan akan keluar berbasikal bagi mengutip sampah di premis-premis berhampiran untuk dibawa balik.
Menurut penduduk setempat pesara guru itu akan memanjat ‘bukit’ sampah terlebih dahulu untuk memasuki rumah dua tingkat miliknya.
Tindakan warga emas itu menimbulkan rasa kurang senang jiran yang sudah tidak tahan dengan bau busuk daripada longgokan sampah berkenaan. Malah, jiran mendedahkan mereka berdepan masalah nyamuk sehingga ada yang pernah dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.
Menurut jiran warga emas tersebut iaitu Sik Eng dan Agnes Kam, wanita berusia 60 tahun ini mempunyai 3 orang anak namun ditinggalkan sendirian di rumah itu serta tidak terurus.
“Sudah banyak kali kami menasihatkannya tetapi dia tidak pernah dengar, malah kami pula dimarahinya. Dia juga akan marah sekiranya kami usik sampahnya.
“Kami sentiasa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tahan dengan bau busuk dan nyamuk yang banyak. Kami sudah tua tentu takut terkena demam denggi lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk setempat mengharapkan ahli keluarga wanita itu dapat bertanggungjawab dengan membawanya mendapatkan rawatan. Ujarnya, meskipun sudah membuat aduan namun masalah longgokan sampah itu tidak pernah selesai.
“Masalah longgokkan sampah ini tidak akan selesai meskipun berpuluh aduan telah dibuat kepada pihak polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“MBI mengambil masa dua hari untuk bersihkan rumahnya beberapa tahun lalu, tetapi dia tetap kembali kutip sampah hinggakan jam 2.30 pagi dia akan kayuh basikal untuk bawa balik sampah,” katanya.
Katanya lagi, rata-rata penduduk bimbangkan keselamatan warga emas itu kerana longgokan sampah berkenaan akan mengundang haiwan berbisa selain membawa penyakit.
SUMBER: Sinar Harian