Tak Tunai ‘Janji’ Belanja KFC, Budak 13 Tahun Dibelasah Tiga Pelajar Senior

Berang kerana tidak menunaikan ‘janji’ mahu belanja makanan seger, seorang remaja berusia 13 tahun di Kelantan dibuli dan dipukul oleh tiga senior iaitu pelajar tingkatan Lima di sekolah yang sama.

Malah, tular video berdurasi 26 saat itu memaparkan pelajar senior di salah sebuah sekolah menengah di Tanah Merah, Kelantan itu membuli dan membelasah pelajar tingkatan satu itu.

Menerusi video berkenaan dapat dilihat mangsa ditumbuk dan ditendang oleh tiga suspek. Walaupun dia sudah jatuh di lantai, kelihatan tiga remaja terus menerus membelasahnya.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata kepada Sinar Harian, berdasarkan keterangan awal daripada mangsa, ketiga-tiga suspek memukul mangsa kerana berang mangsa dikatakan cuba mempermainkan ketiga-tiga suspek dengan gurauan hendak belanja KFC.

Menurutnya, pihak polis sudah mengenal pasti suspek dan membuat tangkapan terhadap semua individu terbabit.

“Ketiga-tiga suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.