Takut Isteri Marah Duit Gaji Habis, Suami Buat Laporan Palsu Kena Samun

0
5401

Bimbang dimarahi isteri kerana wang gajinya habis dipercayai membeli dadah, seorang lelaki bertindak membuat laporan polis palsu kononya dia telah disamun tiga lelaki di Jalan Kelapa Sawit, Padang Serai.

Memetik laporan berita ini, lelaki berusia 30 tahun itu datang ke Balai Polis Padang Serai, 2 Disember lalu untuk membuat laporan kononnya disamun.

Lelaki itu mendakwa disamun ketika menunggang motosikal sendirian dan kononnya suspek bersembunyi dalam semak dan terus menahannya sambil mengacu parang di leher.

Lelaki itu turut mendakwa suspek menumbuk perut dan mengambil wang tunai RM900 sebelum membuang dompetnya serta melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, lelaki tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bagi merakam percakapan dan pegawai penyiasat diarahkan pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaan bagi mendapatkan bukti dan saksi kejadian seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati maklumat diberikan tidak konsisten dan terdapat keraguan dalam keterangannya. Namun, lelaki itu akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

Lelaki itu berkata dia berbuat demikian dengan alasan takut dimarahi isterinya kerana wang gajinya tidak mencukupi dan tidak dapat membeli keperluan anak. Malah, mendakwa memberi alasan kepada isterinya gaji dipotong dengan alasan kad perakam waktu rosak.

“Siasatan mendapati suspek berbuat demikian untuk mengelak ahli keluarga mengetahui duit gajinya sudah digunakan untuk membayar hutang dadah dan membeli dadah,” katanya.

Susulan laporan palsu itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan selepas Order to Investigate (OTI) dibenarkan Timbalan Pendakwa Raya kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam yang boleh mendatang bencana kepada pihak lain.

Jika sabit kesalahan, pengadu tersebut boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

SUMBER: BH Online