Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai pengumuman bukan perubatan perlu mendapat perakuan SIRIM bermula pada 4 Julai ini.
Bagaimanapun, kerajaan telah pun bersetuju untuk menunda penguatkuasaan tersebut selepas mengambil kira maklum balas daripada umum.
Susulan pengumuman tersebut, pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie turut bersetuju dengan langkah kerajaan mengenai cop Sirim pada pelitup muka kerana sekaligus dapat membanteras pelitup muka yang tiada kualiti di pasaran.
Bagaimanapun, sejak semalam tular di media sosial video live Jovian Mandagie mempromosikan pelitup mukanya bersama Dato Seri Siti Nurhaliza.
Apa yang menjadi perhatian apabila tali pelitup muka tersebut putus apabila Tokti mahu memakainya. Kemudian, putus sekali lagi apabila Jovian dilihat cuba manariknya.
Seperti sudah dijangka, video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang memperkatakan mengenai kualiti pelitup muka keluaran pereka fesyen itu.
Malah, video tersebut turut menjadi bahan kutukan netizen apatah lagi dengan kenyataannya sebelum ini pelitup muka keluarannya selamat dipakai dan berkualiti kerana telah diiktiraf oleh MDA.
Tidak kurang juga ada yang memberikan komen sindiran mengatakan pelitup muka yang dibeli oleh mereka lebih tahan dan jika talinya terputus pun mereka faham kerana ianya pelitup muka ‘hauk’.