Menampar seorang pekerja Starbucks kerana tidak puas hati ditegur merokok di tempat awam, seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret atas dakwaan cuba mencederakan pekerja tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mitchel Glend Samson, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan pekerja kedai Starbucks, Nur Hanisah Abu Hasan, 23, di hadapan kedai Starbucks Plaza Berjaya pada 3.20 petang, 13 November lalu,
Tertuduh disabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Menurut laporan, tertuduh berkata dia tidak dibenarkan masuk ke premis berkenaan berikutan selepas engimbas aplikasi MySejahtera di kedai itu, statusnya adalah ‘berisiko tinggi’.
Tertuduh kemudian duduk di tepi Starbucks sambil menghisap rokok sementara menunggu rakan membelikan kopi untuknya. Ujarnya, secara tiba-tiba pekerja Starbucks itu datang dan menghalangnya dari merokok dengan cara kurang sopan.
“Tetapi pekerja Starbucks datang dan menghalang saya dari menghisap rokok dengan cara yang kurang sopan. Saya cuba cakap baik-baik dengan dia tetapi tidak diendahkan.
“Tetapi saya mengaku bersalah kerana memang saya naik tangan kepadanya. Saya mohon maaf dan mohon hukuman ringan kerana masih menanggung keluarga di Sabah,” katanya.
SUMBER: Harian Metro