Tauke Cina Di Kelantan Ini Sediakan Tempat Solat Untuk Pekerja Islam

Meskipun Malaysia mempunyai pelbagai kaum, adat dan budaya, namun kita hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni sejak dulu lagi. Malah, kita dapat lihat hubungan antara kaum dimana-mana sahaja.

Namun, antara yang menjadi perhatian ramai jika anda ke negeri pantai timur jangan terkejut jika bangsa Cina dan India sangat fasih bercakap dalam loghat negeri tersebut.

Baru-baru ini, Facebook Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan berkongsikan video temu bual mereka bersama pengusaha Minyak Masak 303, Gan Leong Piow yang berbangsa Tionghua.

Selain berkongsikan kisah kejayaannya membangunkan perniagaan minyak masak, apa yang menjadi bualan perkongsiannya mengenai layanannya terhadap pekerja di kilangnya yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam .

Paling mencuri tumpuan, Gan berkata dia menekankan kepentingan agama dan sembahyang dalam kalangan pekerjanya. Malah, turut disediakan ruang solat buat mereka beragama Islam.

“You tak akan percaya ni, setiap tahun buat sembahyang hajat saya punya kilang, Yes! Why not?

“I’m a Chinese but i believe in God (saya berbangsa Cina tetapi saya juga percaya kepada Tuhan), agama itu penting.

“Saya buat tempat diorang solat untuk lelaki dan perempuan. Sampai masa kena pergi sembahyang,” jelas beliau.

Ditanya oleh wartawan mengenai sikap segelintir pemilik perniagaan yang tidak mementingkan waktu solat pekerja dan ada yang mengadu pengenai perkara itu, Gan berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku.

Ujarnya, solat merupakan perkara penting setiap manusia dan beliau sangat memahami dan menghormati perkara yang perlu dilakukan oleh agama lain.

“Tak boleh, tak boleh (mengadu). Sembahyang paling mustahak, you kena pergi sembahyang.

“Saya akan tunggu, itu benda wajib. Kalau kita hidup without God we are nothing (kalau hidup tanpa tuhan kita bukan apa-apa),” kongsinya.

Mula mengusahakan perniagaan minyak masak sejak tahun 80-an di Kelantan, Gan menjelaskan setiap majikan perlu menghargai dan menghormati pekerja mereka ketika bekerja.

Kongsinya lagi, beliau menjaga hubungan baik sesama pekerja dan masih mempunyai pekerja yang bersamanya sejak daripada awal perniagaannya dahulu.

SUMBER: Facebook