Kemunculan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman di slot Berita Perdana Khas pukul 8 di saluran TV1, RTM semalam ternyata mengejutkan ramai.
Baginda tampil kira-kira 15 minit menyampaikan berita berhubung isu semasa negara bersempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75.
Berita yang disiarkan pada jam 8 malam itu terlebih dahulu memaparkan momen-momen ketika Tengku Permaisuri mula menjadi pembaca berita di RTM.
#VIRAL Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli membaca berita perdana sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75.
Sumber: RTM pic.twitter.com/9WWZNcBwgk
— Media Selangor (@Media_Selangor) April 1, 2021
Ini adalah kemunculan kali pertama baginda di kaca televisyen selepas ditabalkan menjadi Permaisuri Selangor lima tahun lalu.
Kemunculan istimewa Tengku Permaisuri Selangor itu ternyata membuatkan netizen teruja dan terubat rasa rindu melihat baginda pembaca berita.
Malah, ramai yang mengagumi kepetahan baginda walaupun sudah lama tidak muncul di kaca TV sebagai pembaca berita.
Netizen juga turut memuji penampilan baginda yang masih anggun dan dianggap ‘lagenda’ dalam dunia penyiaran.