Umum mengetahui semalam pihak KKM melaporkan kes positif COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 691 kes sekaligus mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat.
Susulan peningkatan kes itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut membuat sidang media khas membicarakan mengenai perkara itu.
Menerusi perutusan khas itu Muhyiddin yang membahasakan diri beliau sebagai ‘abah’ secara berseloroh berkata, akan mula menggunakan rotan terhadap pihak yang melanggar SOP.
Bagaimanapun, gurauan Muhyiddin itu mengundang rasa kurang senang di kalangan netizen. Malah, turut trending di laman Twitter tanda pagar #MuhyddinIsOut menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Perdana Menteri itu.
Rata-rata netizen berpendapat ini bukanlah masa yang sesuai untuk bergurau di saat negara mencatatkan kes COVID-19 paling tinggi, ditambah pula apabila turut dilaporkan kematian seorang bayi berusia setahun akibat wabak tersebut.
Dalam pada itu, netizen turut meminta beliau melaksanakan ‘hukuman’ berkenaan kepada menteri lain terlebih dahulu yang dianggap sebagai punca peningkatan semula penularan pandemik itu.