Tular Video Bayi Dilempang Pengasuh, Netizen Mahu Pihak Berkuasa Ambil Tindakan

Baru-baru ini tular video di media sosial seorang bayi ditampar di bahagian muka dengan kuat beberapa kali oleh seorang wanita dipercayai pengasuh kepada bayi itu.

Lebih meruntun jiwa, badan dan tangan bayi itu dihentak ke lantai, malah ditaruk dengan begitu kuat dan tangisan bayi itu langsung tidak diendahkan.

Menerusi video itu, ketika kejadian wanita berusia lingkungan 50-an itu sedang memakaikan baju bayi.

Lebih mengejutkan, pengguna Twitter yang memuat naik video mendakwa ianya dirakam oleh anak tiri pengasuh yang baru berusia 11 tahun yang dipercayai turut didera.

Memetik laporan mStar, pengguna Twitter yang enggan dikenali memberitahu kanak-kanak yang didera itu berada dalam penjagaan ibu bapa mereka.

Katanya lagi, insiden tersebut dikatakan berlaku di sebuah flat di Taman Utama, Gelugor, Pulau Pinang.

Pengguna Twitter itu juga memberitahu ada dakwaan mengatakan pengasuh tersebut mengalami masalah mental.

Katanya lagi, meskipun laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa mangsa wanita itu tidak dapat ditahan kerana mengalami masalah mental.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan kerana boleh membahayakan anak-anak asuhan.

Malah, ada yang mempersoalkan serta tidak berpuas hati apabila wanita itu tidak ditahan hanya kerana mempunyai masalah mental.

SUMBER: mStar Online