Semalam tular video seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbakar di jambatan Jalan Kampung Syed Omar di Bintong. Dalam kejadian itu, kereta jenis Perodua Axia dipercayai milik lelaki itu turut terbakar.
Akibat kejadian itu lelaki itu melecur 96 peratus pada badan selepas membakar dirinya dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew berkata, polis menerima panggilan pada 8.49 malam daripada orang awam yang memaklumkan terdapat kereta terbakar serta seorang lelaki berada dalam kenderaan berkenaan.
Difahamkan, orang awam yang melihat kejadian itu menenangkan lelaki tersebut serta memadamkan kebakaran pada badan mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran pada kereta mangsa dan mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa berusia 28 tahun dan tinggal di Kangar. Menurut bapa mangsa lelaki itu merupakan pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri HTF.
Kata bapanya lagi, mangsa pernah cuba membunuh diri, Januari dan Selasa lalu sebelum diselamatkan keluarga.
“Punca mangsa cuba membunuh diri dipercayai kecewa dengan tindakan bekas teman wanitanya yang sudah mempunyai kekasih baru,” katanya.
Bapa mangsa turut memaklumkan anaknya meminum petrol pada 8.45 malam sebelum keluar rumah menaiki keretanya.
Polis berkata, bapa mangsa yang curiga melihat kelakuan anaknya itu membuat laporan di Balai Polis Kangar kerana percaya mangsa cuba membunuh diri sekali lagi.
Namun, sebaik sahaja sampai di balai polis dia dimaklumkan oleh pihak polis yang menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar.
“Bapa mangsa kemudian pergi ke tempat kejadian dan mengesahkan kereta yang terbakar adalah milik mangsa,” katanya.
SUMBER: Harian Metro