Astro Awani – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan keahlian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa serta-merta.
Selain Dr Mahathir, turut dipecat ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada kelima-lima ahli parlimen itu pada Rabu
Muhammad Suhaimi berkata ,keputusan itu dibuat kerana kelima-lima ahli parlimen itu enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
“Dalam sidang Parlimen pada 18 Mei 2020, YB telah duduk di blok yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin merangkap Presiden/Pemangku Pengerusi Bersatu. Sebaliknya, YB duduk di blok pembangkang,” katanya.
Katanya keahlian Dr Mahathir bersama empat ahli parlimen itu terhenti serta merta menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.