Memang tidak boleh dinafikan kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Lebih membimbangkan jika ianya melibatkan kecederaan serius dan berakhir dengan kematian.
Baru-baru ini tular video di media sosial memaparkan seorang pelajar dipercayai pelajar asrama dikelilingi sekumpulan pelajar oleh beberapa orang pelajar sebelum ditumbuk dan disepak.
Menerusi beberapa kompilasi video dikongsikan seorang pengguna Facebook, Faez Hamzah, mangsa yang memakai baju berklar merah itu dilihat hanya mampu berdiri dan tertunduk seolah menahan sakit.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi dikalangan netizen yang geram dengan tindakan pembuli terlibat yang seolah berlagak hebat. Tidak kurang juga, ramai yang meluahkan rasa kasihan dengan mangsa yang dilihat menahan sakit apabila dipukul.
Malah, ramai yang meninggalkan komen tag Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia agar segera menyiasat dan mengambil tindakan berhubung kejadian serta terhadap pelaku yang terlibat.
Dalam pada itu, ramai yang meluahkan rasa bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah asrama berikutan kes seperti ini sering berlaku.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan dimana kejadian itu berlaku. Namun, hasil tinjauan di ruangan komen, ada segelintir netizen mendakwa kejadian berlaku di sebuah sekolah Maktab Rendah Sains Mara.