Hari ini hangat diperkatakan mengenai penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman yang didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah dan menanam pokok ganja.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Susulan kes tersebut, ada netizen mempertikaikan wajah Yasin terpampang merata-rata namun tokan dadah yang ditangkap membawa masuk ganja berkilo bernilai jutaan ringgit tidak pula didedahkan wajah mereka.
Dalam pada itu, ada netizen meluahkan rasa tidak puas hati serta pertikaikan ada tokan dan jerung dadah masih terlepas.
Sementara itu, melihatkan diruangan komen isu berkenaan rata-rata netizen memberikan kata semangat buat penyanyi itu serta mendoakan agar urusan Yasin dipermudahkan.
Terdahulu Yasin mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu. Selain itu, tiada pengakuan direkodkan atas pertuduhan mengedarkan dadah jenis ganja seberat 214 gram.
Sementara itu, Yasin merayu kepada Mahkamah Majistret untuk memberikan jaminan berikutan masalah kesihatan mentalnya yang semakin terjejas.
SUMBER: Harian Metro