Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan apabila tular skrin perbualan WhatsApp yang dimuat naik oleh seorang wanita di laman Twitter mendakwa Neelofa dan PU Riz sudah bernikah secara senyap, serta terkena minyak pengasih.
Susulan dakwaan tidak berasas itu, pembantu peribadi (PA) kepada Neelofa iaitu Nadiah Khairuddin bertindak meminta bantuan netizen untuk mengesan individu di sebalik penyebaran perbualan WhatsApp berkenaan.
Selepas tiga jam wajah wanita itu dimuat naik di media sosial, individu berkenaan akhirnya tampil menyerah diri apabila menghubungi sendiri PA Neelofa secara peribadi.
Nadiah berkata dia sudah menyerahkan wanita dikenali Syamira Safiya itu kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.
“Selepas saya memuat naik wajah serta memintanya untuk tampil, akhirnya wanita itu menghubungi saya secara peribadi di media sosial selepas tiga jam ia dimuat naik.
“Sebagai pembantu kepada Neelofa, saya sudah meminta dia untuk berurusan dengan wakil peguam saya. Ini kerana, menerusi paparan skrin terbabit dia secara tidak langsung sudah mengaitkan nama saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nadiah berkata dia tidak mengenali wanita itu serta dia pernah langsung bertemu. Ujarnya lagi, dia mahu membersihkan namanya daripada kontroversi tersebut.
“Kami tidak ada apa-apa kaitan. Dia bukan saudara atau kawan saya. Cuma apa yang penting, saya hanya mahu membersihkan nama daripada terpalit dengan konflik membabitkan majikan dan PU Riz,” katanya.
Terdahulu, wanita itu mendakwa mendapat maklumat daripada ‘orang dekat’ Neelofa mendakwa bahawa pasangan selebriti itu sudah bernikah di Kelantan.
Malah, turut mendakwa Neelofa memasukkan sejumlah wang ke akaun PU Riz atas tujuan tertentu.
SUMBER: Harian Metro