Kebiasaannya jalan utama Kuala Lipis-Gua Musang dan Kuala Krai akan sesak setiap kali musim perayaan sahaja. Namun sejak petang semalam, jalan tersebut sesak apabila ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung sebelum PKPB dilaksanakan.
Memetik laporan Harian Metro, rata-rata pengguna jalan raya mendakwa mahu menghantar anak dan isteri ke kampung untuk mengelak sebarang kerumitan sepanjang tempoh PKPB.
Seorang penjawat awam di Kuala Lumpur, Zainal Abidin Sulaiman, 36, berkata, dia lebih selesa tinggal seorang diri dalam tempoh PKPB itu. Ujarnya lagi, tempoh PKPB itu belum diketahui sama ada dilanjutkan atau sebaliknya.
Seorang lagi pemandu, Fauzi Yaacob, 41, berkata, dia memuji langkah kerajaan melaksanakan PKPB untuk memutuskan rangkaian Covid-19. Namun dia terpaksa mengambil keputusan menghantar anak dan isteri tinggal bersama keluarga di kampung di Pasir Mas.
“Dalam keadaan ini, saya bimbang dengan kesihatan serta keselamatan anak dan isteri jika tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. Adalah lebih selamat saya hantar mereka tinggal di kampung,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur mulai 12.01 tengah malam ini hingga 27 Oktober, dan rentas daerah tidak dibenarkan.
SUMBER: Harian Metro