Perkahwinan merupakan salah satu detik atau pun saat bahagia buat pasangan suami isteri. Selain itu ia juga membawa satu perubahan yang mempunyai banyak likunya dan pengalaman yang baru.
BACA: Doktor Ini Dedah Perangai Sebenar Lelaki Yang Jenis Suka ‘Simpan’ Wanita
Namun tidak dinafikan, pasangan pengantin kebiasaannya terlebih dahulu diuji dengan pelbagai rintangan terutamanya kewangan sebelum majlis di kedua-dua belah pihak berakhir.
Isu yang sering kali muncul di laman sosial media ialah berkaitan majlis persandingan. Ada keluarga yang tidak kisah diadakan biasa-biasa saja dan ada pula keluarga yang malu jika majlis diadakan kecil-kecilan.
Mungkin bagi mereka yang berkemampuan, kewangan bukanlah masalah namun dalam masa yang sama jika difikirkan jumlah wang yang digunakan untuk satu majlis yang diadakan secara besar-besaran sebenarnya sangat membantu pengantin untuk meneruskan kehidupan di depan.
Namun perdebatan mengenai majlis sebegini tidak akan berakhir kerana kadangkala ada perselisihan faham di antara keluar dan bakal pengantin sendiri. Kami kongsikan sedikit sebanyak mengapa majlis yang meriah itu mungkin tak perlu dilakukan demi kelangsungan hidup pengantin selepas berkahwin.
1. Usaha Bertahun, Habis Sehari
Sudah menjadi lumrah, kebiasaannya pasangan pengantin akan berbincang mengenai tarikh perkahwinan dan seterusnya akan berusaha untuk melunaskan bayaran untuk majlis dalam beberapa fasa.
Kita ambil contoh, segala persiapan melibatkan kos RM20,000. Ini satu jumlah yang cukup besar dan bermakna jika dapat digunakan selepas berkahwin. Antara kegunaan utama mungkin melibatkan kos sewa rumah, perbelanjaan bulanan dan macam-macam lagi.
Namun mahu tak mahu, jumlah RM20,000 itu kebiasannya habis dalam masa satu hari saja. Demi raja sehari, demi memori.
2. Konon Demi Memori, Makin Lama Makan Hati
Bila cakap pasal memori ini, ia berkait rapat dengan emosi. Bila berkait rapat dengan emosi, mungkin kita mudah untuk membuat keputusan terburu-buru. Ini dalam masa yang sama membuatkan terlebih bajet di beberapa bahagian untuk majlis bersanding.
Tidaklah berniat untuk menutup periuk nasi videographer mahu pun photographer, namun pasangan pengantin juga harus bijak mengukur baju di badan sendiri.
Jangan kerana demi memori sehari ini, ramai juga yang makan hati di kemudian hari kerana tak dapat melunaskan apa yang patut. Tidak mahulah nanti asyik nak bergaduh tiap-tiap hari.
3. Mengelakkan Pergaduhan Di Awal Perkahwinan
Belajarlah apa sekali pun, perkara asas atau pun fundamental perlulah kukuh di setiap apa yang kita pilih. Kekuatan pada asas atau kita panggil akar inilah yang membawa hala tuju yang terbaik untuk perkahwinan.
Malah perkahwinan juga bukanlah sekadar untuk berseronok saja-saja – ia lebih kepada tanggungjawab buat kedua-dua belah pihak, buat suami mahu pun isteri. Perselisihan faham ini kadang-kala tidak dapat dielakkan namun seringkali ia terjadi adalah di atas punca kewangan.
Sebaiknya, elaklah pertelingkahan di awal perkahwinan ini dan berbincanglah sebaiknya. Tidak kukuh asasnya di awal hubungan mampu membuatkan akarnya tidak kuat sepanjang pertumbuhan – dan mana mungkin ia menghasilkan buah yang manis di sepanjang perjalanan.
Keperluan Selepas Berkahwin Lebih Penting
Tanyalah kepada mana-mana pengantin atau pasangan yang sudah berkahwin pun, keperluan selepas berkahwin adalah jauh lebih penting berbanding bergelar kemegahan bergelar raja sehari.
Tapi tidaklah kata tidak perlu buat majlis langsung. Ikutlah di atas kemampuan sendiri dan yang paling penting janganlah berhutang. Jika sudah sampai tahap berhutang ini, tidak tahulah apa yang mahu dikatakan lagi. Sebaik habis majlis, tidak mustahil pengantin terbaring di katil sambil termenung jauh – ligat memikirkan cara nak langsaikan hutang pula.
Perbincangan bertentang mata dengan ibu bapa juga memainkan peranan penting. Jika kena caranya, majlis yang sederhana saja sudah cukup untuk memeriahkan perkahwinan tersebut di atas persetujuan pengantin dan juga keluarga.
Ubah Sekarang Demi Kelangsungan Masa Hadapan
Kehadiran COVID-19 ternyata mengubah banyak perkara bermula dengan cara kita bergaul sehinggalah melibatkan tatacara majlis besar-besaran. Sebarang acara tidak boleh dilakukan secara besar-besaran.
Malah pada ketika ini juga, kita berpeluang melihat pasangan pengantin disatukan dalam majlis yang cukup ringkas dan hanya dihadiri jumlah tetamu yang terhad. Berlangsung juga bukan majlisnya?
Kemudian dikongsikan gambar di sosial media dan Whatsapp untuk menghebahkan mengenai ikatan yang sah itu. Mudah sangat bukan? Semoga perkara ini dapat diubah demi kelangsungan hidup pengantin di masa hadapan.
Tapi kita mungkin berbeza pendapat mengenai perkara ini. Mari kongsikan bersama kami tentang apa yang anda rasakan mengenai perkara ini di ruangan komen.