Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu serta tempah dan ambil mahupun e-bazar pada bulan Ramadan ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti dan mendengar pandangan Kementerian Wilayah melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan untuk melaksanakan bazar Ramadan dengan cara itu.
Menurutnya, sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil tidak dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata perkhidmatan e-hailing seperti yang ada sekarang boleh terus beroperasi seperti biasa ketika Ramadan.
Ujarnya lagi, konsep tempah dan ambil melalui e-hailing tidak boleh dibenarkan kerana ia memerlukan gerai beroperasi.
“Sebagai contoh, ada 50 bazar dalam satu kelompok dan e-hailing ambil di bazar itu selepas (pelanggan) melakukan pesanan, ini tidak boleh dilakukan sebab bazar tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan mencadangkan tiga kaedah untuk menjual makanan dan minuman sepanjang bulan Ramadan iaitu Pandu Lalu, Tempahan Awal, Bungkus dan Ambil, serta penghantaran e-hailing.