Kehidupan di zaman pandemik Covid-19 ini ternyata memberikan impak yang sangat besar terutama buat mereka yang sudah berkeluarga.
BACA: “Vaksin Covid-19 Boleh Ubah Lelaki Suka Kaum Sejenis”
Ada yang kehilangan kerja ditambah pula dengan anak-anak yang mahu masuk sekolah. Mungkin nampak mudah namun keperluan seharian saja sudah cukup buat kepala berdenyut laju.
Jalan pintas untuk meneruskan kehidupan yang berkiblatkan kewangan ini pastinya adalah melalui pinjaman.
Jika tidak dapat di bank, mungkin ada harapan jika meminjam dengan pemberi pinjaman wang berlesen atau ramai yang di antara kita gelarkannya sebagai – Along.
Melalui laporan dan pendedahan Harian Metro, aktiviti peminjam ini ketika di musim Covid tidak terjejas langsung.
Malah jumlah peminjam juga dilaporkan meningkat 15 kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sejak Januari tahun ini, kita terima banyak permohonan. Sangat banyak. Kalau sebelum ini sekitar 150 hingga 200 peminjam setiap minggu, kali ini mencecah sehingga 3,000 permohonan”
“Keadaan jadi berbeza, saya perlu buat tapisan ketat dan menolak banyak permohonan kerana tiada jaminan untuk mendapat bayaran balik,” jelas individu yang menjalankan aktiviti pinjaman berkenaan kepada portal berita tersebut.
Lebih dahsyat lagi, berdasarkan data mereka sepanjang berkecimpung dalam dunia tersebut, jumlah permohonan pinjaman sekali lagi akan dilanda gelombang besar apabila menjelang Aidilfitri.
“Setiap kali hari raya (Aidilfitri), mesti ramai yang ingin meminjam. Saya jangkakan kenaikan sekali ganda daripada biasa,” kongsinya lagi.
Apa pun, inilah realiti di Malaysia yang terjadi. Kehidupan yang mendesak ini membuatkan kita tidak dapat lari daripada masalah kewangan dan akhirnya tewas dengan pinjaman.
Aktiviti meminjam ini pula ibarat rantai besi yang berat – yang akan terus mengheret kita untuk terus tewas kepadanya.
Semoga bagi mereka yang terpaksa meminjam dapat mengumpul kekuatan untuk keluar daripada masalah ini dan akhirilah seksaan meminjam dengan segera.
Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.