Sejak semalam kecoh mengenai video pergaduhan melibatkan geng akak sanggul tinggi di Pasir Tumboh, Kelantan. Terbaru, seramai tujuh suspek terbabit dalam pergaduhan itu direman tiga hari mulai hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, lima daripada tujuh individu yang ditahan termasuk tiga wanita didapati positif dadah selepas melalui ujian saringan air kencing.
BACA: Ini Kisah Akak Sanggul Tinggi, Gaduh Di Kelantan Yang Sedang Viral
Difahamkan, kesemua suspek ditahan secara berasingan di Kota Bharu dan Pasir Puteh pada petang semalam serta malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kesemua mereka berusia 19 hingga 46 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Kata Abdul Rahim lagi, dua daripada suspek memiliki rekod jenayah termasuk berkaitan dadah. Polis turut merampas Perodua Alza untuk siasatan kejadian pergaduhan.
Terdahulu, tular video berdurasi tiga minit 37 saat memaparkan kejadian pertengkaran mulut antara mangsa berusia 30 tahun dengan beberapa individu sebelum mangsa dibelasah.
Pertengkaran itu berlaku dipercayai berpunca daripada ejek mengejek sehingga seorang buruh dibelasah. Dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berusia 30 tahun sedang berjalan kaki dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya.
Dia mendakwa dihampiri kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki seorang lelaki bersama tiga wanita yang turut membunyikan hon.
Mangsa mendakwa dipukul oleh suspek dan beberapa individu tidak dikenali termasuk seorang wanita menyebabkannya bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan.
SUMBER: Harian Metro