Ketika ini isu mengenai Macau Scam memang hangat diperkatakan dan baru hari ini, pihak polis telah mengesahkan bahawa dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram baru-baru ini hanyalah ejen atau orang tengah bagi menyediakan kemudahan kepada sindiket penipuan yang menyasarkan rakyat China.
BACA: Akhirnya Terjawab, Suspek Macau Scam Berjaya Lari Dibantu Dua ‘Bodyguard’
Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed melalui portal berita Sinar Harian, dua lelaki terbabit iaitu Addy Kanna dan seorang lelaki dikenali sebagai Goh Leong Yeong@Alvin diupah untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan yang dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet di negara ini.
“Pusat panggilan yang beroperasi di unit kediaman mewah dan pejabat itu menjalankan operasi harian dengan menyasarkan rakyat di China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) dan penipuan pembelian barang serta tuntutan barang seperti scam,” jelasnya.
Malah menurut Huzir, dakwaan dakwaan pihak tertentu mengaitkan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini dengan dua individu terbabit adalah tidak tepat.
“Kegiatan penipuan dalam negara dilakukan sindiket penipuan lain. Dakwaan pihak tertentu yang menganggap kegiatan penipuan dalam talian di negara ini membabitkan dua individu itu adalah tidak tepat,” katanya.
Namun dalam masa yang sama, dia menjelaskan bahawa Addy Kanna tidak akan dibebaskan sebaliknya akan ditahan menurut Seksyen 4(1)(a) POCA 1959 selama 21 hari hingga 3 Nov ini.
“Dakwaan mengatakan Addy Kanna akan dibebaskan juga tidak tepat kerana individu itu sedang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bersama dua lagi individu,” kongsinya.
Begitulah kisahnya dan sementara itu sama-samalah kita menunggu kesudahan dalam episod yang kita sangkakan pada mulanya dulu adalah penangkapan terbesar Macau Scam di negara ini.