Siapa sangka tindakan memicit jerawat akhirnya menyebabkan wajah seorang gadis ini yang dahulunya cantik kini bertukar hodoh. Lebih malang, akibat perbuatannya itu, Mary Ann Regacho, 17, dari Nueva Ecija menjadi buta.
Ceritanya bermula apabila dia hanya memicit jerawat di muka, sebelum ia membengkak dan semakin teruk sejak tahun lalu. Katanya, dia menyangkakan bengkak pada mukanya itu akibat perubahan hormon selepas melahirkan bayi lelakinya sewaktu usia 16 tahun.
Namun selepas memicit jerawat itu, mukanya semakin sakit dan merebak di seluruh wajah. Mary berkata bengkak dimukanya seperti belon yang mahu meletup.
Benjol tersebut kini hampir menutupi wajahnya dan mempengaruhi penglihatannya apabila itu merebak ke kawasan mata. Ujarnya, dia sudah berusaha menyembuhkan dengan ubat herba namun tidak berhasil.
“Pada mulanya, saya rasa itu jerawat biasa, tetapi sakitnya sehingga tidak dapat tidur malam. Saya cuba semua benda untuk mengubatinya, tetapi gagal. Sekarang, wajah saya tidak sama lagi,” katanya.
Suaminya, Albert Sales, yang mengambil upah bekerja sambilan di ladang jiran berkata dia tidak mampu mendapatkan rawatan untuk isterinya kerana tiada pendapatan tetap.
Ujarnya, selepas hampir setahun menahan sakit, Mary pergi ke hospital untuk pemeriksaa, namun hospital tersebut tiada peralatan mendiagnosis penyakit misteri itu sehingga Mary dipindahkan ke hospital besar.
Berdepan masalah kewangan dan sukar untuk membayar bil perubatan, suaminya yang bimbang kini meminta bantuan orang ramai. Apa pun diharap ramai yang menghulurkan bantuan agar Mary dapat kembali seperti dulu.
SUMBER: Harian Metro