Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah tersebut sememangnya sesuai buat seorang lelaki ini di Sumatera Utara ini yang bergelar jutawan segera selepas batu meteorit jatuh menimpa rumahnya.
Josua Hutagalung, 33, yang bekerja sebagai pembuat keranda telah menerima tawaran pembelian batu tersebut pada harga £1.4 juta (RM7.60 juta) oleh pakar meteorit Jared Collins yang kini tinggal di Bali.
Memetik laporan Daily Mail, baru tersebut dianggarkan berusia 4.5 billion tahun dan dikelaskan sebagai CM1/2 carbonaceous Chondrite. Malah, batu tersebut sememangnya amat jarang ditemui.
Batu tersebut boleh dijual pada harga sekitar $1.85 juta atau $857 per gram (kira-kira RM3,514). Meteorit yang mempunyai kandungan logam dari angkasa boleh dijual pada harga mencecah $1,000 per gram.
Menceritakan semula kejadian yang berlaku Batu itu telah menimpa rumahnya pada Ogos lalu, menyebabkan bumbung berlubang sebelum ia jatuh tertanam sedalam 15cm di sebelah rumah.
Kongsi Josua, batu seberat 2.1 kilogram itu masih hangat dan akan terserpih ketika disentuh.
Collin yang juga pakar batu angkasa kemudiannya menghantar meteorit yang diberikan nama Kolang itu ke AS di mana ia dibeli oleh Jay Piatek, seorang doktor dan pengumpul meteorit di Indianapolis.
Difahamkan, sebanyak tiga serpihan meteorit turut ditemui di kawasan sekitar dan salah satunya dijumpai di sawah bendang kurang 3 kilometer dari rumah Josua.
Dalam pada itu, Ketua Institut Aeronautik dan Angkasa Negara Indonesia, Thomas Djamaluddin berkata kejadian meteorit jatuh ke kawasan berpenduduk adalah jarang berlaku kerana kebanyakan meteorit jatuh di lautan, hutan atau padang pasir.