Budak 11 Tahun Maut Di Rumah Anak Yatim, Kena Sepak, Cekik & Hempas Dengan Senior

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dibelasah sehingga maut oleh pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di Kuantan.

Memetik laporan Utusan, mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, ianya berpunca hanya kerana kanak-kanak itu disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, mangsa dibawa tiga pelajar lain yang merupakan penghuni di situ dalam keadaan tidak sedarkan diri ke rumah penyelia asrama.

Penyelia asrama yang pada awalnya mengesyaki mangsa mengalami sawan membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia. Susulan itu, pengadu segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahmkan, polis telah menahan reman seorang pelajar berusia 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut kes tersebut.

Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah di bangunan surau di kompleks berkenaan dan ada saksi dalam kejadian berkenaan. Kata pihak polis lagi, motif kejadian adalah kerana tidak berpuas hati dan ada unsur dendam suspek terhadap mangsa.

Siasatan juga mendapati, mangsa disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga dia tidak sedarkan diri. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SUMBER: Utusan