Dalam Tempoh Sejam, Hotel Di Langkawi Terima 1,000 Tempahan

Petang tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Menerusi pelaksanaan itu lebih banyak kelonggaran diumumkan termasuklah rakyat dibenarkan untuk merentas negeri untuk pulang ke kampung serta melancong di dalam negeri.

Namun apa yang mengejutkan, dalam tempoh sejam selepas pengumuman tersebuut, sektor perhotelan di Langkawi menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pegawai Ekesekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir menyifatkan ianya permulaan positif bagi industri pelancongan untuk bangkit semula selepas berbulan terjejas susulan pandemik COVID-19.

“Untuk makluman juga, pada jam 4 petang sehingga 4:45 petang tadi kita telah menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam.

“Ini adalah rekod, semua hotel-hotel kita telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, LTA menyasarkan satu juta pelancong domestik masuk ke Langkawi bermula 10 Jun sehingga 31 Disember nanti.

Bagaimanapun, pihaknya berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan lebih lanjut khususnya mengenai penggunaan fasiliti di hotel seperti kolam renang.

Ujarnya, dalam pengumuman hari ini tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai perkara itu dan pihaknya akan berjumpa sendiri dengan Menteri Pelancongan sendiri untuk mendapat garis panduan yang ditetapkan.

“Tetapi, kita ada sedikit kemusyilan, kita patut jawab (persoalan tentang) fasiliti-fasiliti yang boleh gunakan di hotel seperti kolam renang.

“Orang bercuti bawa anak, bawa keluarga, sudah tentu kita nak gunakan kolam renang tapi dalam pegumuman PM tadi tidak secara terperinci.

Bagaimanapun katanya, pusat peranginan seperti Kereta Kabel Langkawi, Taman Tema Langkawi dan Taman Langkawi masih belum dibuka kepada umum.

SUMBER: Astro Awani