Gangguan Bekalan Air Di Lembah Klang Dijangka Berlarutan 4 Hari

Umum mengetahui sejak semalam hampir 1.2 juta pengguna di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air disebabkan pencemaran yang memaksa penutupan empat loji rawatan air di Selangor.

Terbaru, gangguan bekalan air dijangka berlarutan sekurang-kurangnya empat hari lagi apabila pihak Air Selangor memaklumkan setakat jam 2.30 petang tadi,, pencemaran masih dikesan di muka sauk loji berkenaan

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman, berkata ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hanya boleh kembali beroperasi jika tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

“Setakat 2.30 petang, pencemaran air masih pada tahap 1 TON, di mana ianya tidak selamat untuk dirawat dan diagih kepada pengguna,

“Loji rawatan air (LRA) akan beroperasi jika bacaan 0 TON berjaya diperoleh sebanyak 3 kali berturut-turut,” jelasnya.

Pihak Air Selangor bertindak menghenti tugas LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 berikutan pencemaran air dikesan pada awal pagi semalam di kawasan Sungai Gong.

Difahamkan, pencemaran bau di Sungai Selangor itu berpunca daripada kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang. Premis kilang itu juga sudah pun disita dan akan didakwa di mahkamah serta-merta.

SUMBER: BH Online