Guru Dedah Video ‘Ayah Saya Masak Ketum’ Hanya Dihantar Kepada Ibu

Sejak semalam tular video memaparkan seorang murid mengaku bapanya memasak daun ketum di rumah selepas ditanya oleh gurunya tentang aktiviti memasak yang dilakukan di rumah bersama keluarga mereka.

Bagaimanapun, video itu menimbulkan rasa kurang senang netizen yang mengecam tindakan guru yang didakwa berkongsikan video berkenaan.

Malah, netizen mengatakan ianya melanggar etika sebagai tenaga pengajar apabila merakam situasi di dalam bilik darjah lebih-lebih lagi lagi berkenaan isu tersebut.

Tampil menjelaskan perkara sebenar, guru tersebut yang tidak mendedahkan identitinya telah menghubungi seorang penceramah, Akhi Fairuz Al-Jengkawi memberitahu bahawa video tersebut hanya dihantar kepada ibu murid berkenaan sahaja.

Katanya lagi, guru tersebut berniat untuk membantu pelajar berkenaan kerana jika ianya benar-benar berlaku dia berharap pihak ibu tidak melindungi daripada anaknya.

Jelasnya, berhubung video tersebut tular di media sosial berkemungkinan hanya diketahui oleh ibu murid berkenaan.

“Ibu kanak-kanak berkenaan mungkin ada jawapannya. Biasanya kalau video ‘comel’ begini, mestilah cepat-cepat nak share dalam group whatsapp family.

“Bila dah tersebar di satu group, bayangkan apa akan jadi selepas itu. Dan kita semua dah tahu video ini telah tersebar merata,” tulisnya.

Dalam pada itu, penceramah berkenaan turut meminta agar netizen tidak mengeruhkan lagi keadaan dan menyerahkan hal itu kepada pihak sekolah, PPD atau kementerian  untuk membuat siasatan.