Kehadiran pandemik Covid-19 tidak dapat dinafikan mengubah pelbagai perkara yang mungkin sebelum ini tidak pernah dijangkakan akan berlaku. Ada yang kehilangan insan tersayang, pekerjaan dan hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.
BACA: Perkongsian Wanita Ini Pasal Udang Besar Undang Sebak Warga Internet
Kisah perkongsinan kehidupan melalui laporan Harian Metro ini ternyata memberi harapan buat mereka yang mungkin masih tercari-cari apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan kehidupan.
Secara ringkasnya, lelaki yang berusia awal 50-an yang dikenali sebagai Chairil Anwar Sabar mempunyai kehidupan yang selesa sebelum berlakunya pandemik.
Bagaimanapun perniagaan acu tekan logam yang diusahakannya di Rawang terpaksa dihentikan. Perniagaan yang diusahakan selama 13 tahun itu bukan saja ditutup operasi namun dalam masa yang sama turut menanggung hutang puluhan ribu ringgit.
Buat bapa kepada 7 orang ini, setelah perniagaanya dihentikan, dia mengambil peluang untuk menyertai program Pos Rider (inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia) pada Mei lalu.
“Pekerjaan baharu ini jauh berbeza daripada dulu, tidak lagi pakai ‘sut’ dan kerja di bawah penghawa dingin. Tetapi, saya gembira dan seronok apabila dapat bertemu pelbagai karakter orang setiap hari semasa menghantar barang”
“Yang penting, pendapatan sebagai Pos Rider sebenarnya agak lumayan sekiranya rajin. Kalau komited, mula bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, kiranya dalam seminggu sudah boleh dapat RM2,500.
“Jadi, kalau empat minggu bukankah boleh dapat RM10,000? Ia bukanlah pekerjaan bawahan dan saya pun tidak malu jadi Pos Rider,” katanya yang menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.
Tambah laporan itu lagi, melalui pendapatannya sebagai Pos Rider tersebut yang kini menjadi pekerjaan utamanya, dia mampu meneruskan kelangsungan keluarga selain turut membantu untuk membayar hutang.
Kata kunci disinilah adalah rajin dan berusaha memperbaiki keadaan walaupun berdepan situasi sukar. Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat buat mereka yang kehilangan arah dalam situasi sebegini selain dipermudahkan segala urusan.
Sumber & Gambar Ihsan: Harian Metro