Ibu Bapa 45 Tahun Duduk Dalam Hutan Rindu Anak-Anak

Percaya atau tidak, memetik laporan Harian Metro mengenai kehidupan sepasang suami isteri di dalam hutan ternyata memberi pandangan berbeza tentang makna kehidupan.

BACA: Anak Baru ‘Pergi’ Kerana Kanser, Jururawat Sambung Tugas Demi Negara

Mohd Lazim Ismail (74 tahun) dan isterinya, Fatimah Mat Rani (64 tahun) kini menetap di sebuah rumah usang di Estet Sungai Remuk, Jalan Genting Highlands, Batang Kali.

Lebih menyedihkan, mereka hidup tanpa bekalan elektrik dan air bersih – cuma mengharapkan air dari bukit berhampiran selain menggunakan pelita minyak tanah dan lilin untuk menerangi malam.

Demi meneruskan kelangsungan hidup pula, pasangan ini mencari buluh lemang, pucuk paku dan sayur-sayuran untuk dijual di bandar Batang Kali setiap minggu.

Jalan Sejauh 20 Kilometer

Menurut Mohd Lazim, untuk membeli keperluan harian seperti beras, minyak, gula dan lain-lain, dia perlu berjalan sejauh 20 kilometer ke Pekan Batang Kali.

Selain itu, pasangan ini juga merupakan penerima sumbangan dan peruntukan RM300 setiap bulan daripada Lembaga Zakat Selangor sejak tahun 2016 dan juga daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor.

Menangis

Melalui laporan tersebut, pasangan ini juga menjelaskan bahawa mereka rindukan anak-anak namun dalam masa yang sama mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Sebenarnya saya berasal dari Ajil, Kuala Terengganu dan suami berasal dari Machang, Kelantan. Kami berhijrah ke sini untuk mencari rezeki bersama setelah berkahwin”

“Kami ada lima anak dan beberapa cucu. Saya selalu rindukan mereka setiap kali tibanya Aidilfitri. Namun kami tidak menyesal walaupun mereka membawa haluan masing-masing mencari rezeki,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Dia berkata, ibu mana yang tidak tersentuh hati apabila mengingati anak yang dilahirkan sejak kecil lagi kini tidak lagi menjenguk orang tua mereka kembali.

“Saya doakan anak diberikan Allah kekuatan semangat dan dapat bertemu kami semula di dalam hutan ini. Kami reda dengan ketentuan Allah ini”

“Sebagai ibu saya tetap bersyukur dan restui mereka yang kini mencari rezeki menyara keluarga masing-masing. Ada masa jenguklah kami di sini sekali-sekala,” katanya.

Walaupun Atok Lazim dan Nek Timah bersyukur dan tidak menyesal dengan pilihan kehidupan mereka, dalam masa yang sama, pastinya ibu dan bapa ini sentiasa berharap agar ada insan yang sudi menjenguk mereka.

Bagi anda yang belum berpeluang menjenguk ibu bapa sepanjang musim PKP ini, pulanglah nanti.

Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂