Ibu Suspek Yakin Anak Tak Bunuh Nur Surya

Yakin dan percaya dengan nalurinya sebagai seorang ibu bahawa anaknya yang merupakan suspek bunuh Siti Nur Surya Ismail, tidak bersalah, ibu kepada suspek berkata dia akan terus berdoa untuk anaknya.

Memetik laporan Sinar Harian, ibu kepada dua anak itu berkata, suspek merupakan anak sulung yang mesra dipanggil kakak itu adalah anak harapannya dan sangat memahami kemiskinan hidup yang dihadapi mereka sekeluarga selama ini.

BACA: Tercari-Cari Arwah, Ibu Masih Tak Tahu Nur Surya Dibunuh

Bekerja sebagai tukang cuci, wanita itu berkata anaknya seorang yang sangat baik kerana tidak pernah merungut walaupun hidup kemiskinan meskipun terpaksa menolak tawaran pengajian ke IPTA kerana masalah kewangan.

“Saya akan terus berdoa kakak tidak salah dan naluri ibu tetap menyatakan kakak tidak salah walaupun satu dunia kata dia salah.

“Kakak pernah menolak beberapa tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana kami tidak ada duit tetapi dia tidak pernah tunjuk tanda-tanda protes malah kakak pula pujuk saya, supaya jangan rasa bersalah dengan keputusan dibuatnya.

“Dia juga tidak kisah kalau terpaksa memakai baju sekolah terpakai yang disedekahkan orang ramai dan pakaian harian yang dipakainya hari-hari pula kebanyakan baju dan tudung yang disedekahkan kepada kami. Dia tidak malu walaupun mengenakan pakaian sama sahaja,” katanya.

Bercita-cita untuk menjadi seorang guru, wanita itu berkata anaknya itu selalu memberi semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan meskipun serba kekurangan dan berjanji akan membela nasib keluarga.

Menceritkan bagaimana anaknya mengambil keputusan untuk tampil ke balai polis, wanita itu berkata bukan dia yang memujuk tetapi anak perempuannya sendiri yang mahu ke sana.

Akui terkejut apabila diberitahu anaknya terpaksa di tahan polis untuk siasatan lanjut, dia bertanyakan kepada anaknya adakah dia melakukan pembunuhan tersebut namun anaknya berkata bahawa dia tidak melakukannya.

“Saya masih ingat lagi lepas solat subuh (Isnin) iaitu kira-kira jam 6.30 petang, kakak dah tunggu dekat ruang tamu dan lepas nampak saya siap solat, terus dia bagi tahu nak ke balai polis.

“Dia yang ajak saya tapi masa tu saya tak terfikir apa pun dan menurut sahaja ajakannya tetapi beberapa minit selepas berjumpa dengan polis, saya diberitahu yang kakak terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut.

“Memang agak terkejut selepas dimaklumkan, saya terus bertanyakan kakak sepanjang menemaninya di balai polis sebanyak tiga kali, adakah betul kakak yang buat, tapi dia jawab tak buat dan saya tahu dia tidak menipu,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian