Tercari-Cari Arwah, Ibu Masih Tak Tahu Nur Surya Dibunuh

Sabtu lalu kita dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam di Terengganu melibatkan gadis berusia 19 tahun, Siti Nur Suria yang ditemui dengan beberapa kesan tikaman serta putus pergelangan tangan.

Meskipun sudah lima hari berlalu, namun keluarga mangsa masih tidak mampu menceritakan hal sebenar kepada ibunya, Zaini Muda, yang menghidap kanser otak.

BACA: Ini Kronologi Kenapa Suspek Sanggup Bunuh Kawan Baik & Potong Tangan Mangsa

Menurut bapa mangsa, Ismail Muda, dia tidak sanggup hendak menceritakan kejadian sebenar menimpa anaknya kepada isteri setiap kali ditanya ke mana Allahyarham Surya.

Ujarnya, isterinya ada melihat jenazah arwah buat kali terakhir namun atas faktor kesihatan dia cepat lupa selalu bertanya di mana arwah yang mesra disapa sebagai kakak.

Lebih pilu, Ismail berkata dia terpaksa memberitahu isterinya bahawa Surya sudah meninggal dunia kerana demam panas.

“Setiap kali ditanya, saya akan beritahu kakak sudah meninggal di hospital sebab demam panas. Saya tak sanggup ceita hal sebenar kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata sehingga ke hari ini isterinya sering kelihatan tercari-cari Surya memandangkan sebelum ini Allahyarham yang sentiasa berada di sampingnya.

Dalam kejadian Ahad lalu, Surya yang menjaga ibunya terlantar sakit ditemui mati di ruang tamu rumahnya dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, Terengganu.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian ruang tamu rumah tersebut dengan pergelangan tangan kirinya putus dan kesan kecederaan lain pada bahagian muka serta badan.

SUMBER: Sinar Harian