Motosikal Terbakar Dalam Perjalanan Mohon Bantuan, Ebit Lew Hadiahkan Yang Baru

Bila sebut sahaja tentang bantuan, tidak dinafikan nama Ebit Lew pasti akan menjadi sebutan ramai. Insan hebat ini tidak pernah kenal erti penat untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Baru-baru ini, kisah satu keluarga daif menyentuh hati pendakwah muda itu apabila motosikal mereka terbakar ketika dalam perjalanan meminta bantuan di Baitulmal.

Malah tular video tersebut di media sosial dimana tiga beranak Orang Asli di Johor itu menaiki motosikal sebelum ianya terbakar.

Difahamkan kejadian berpunca apabila motosikal yang ditunggang oleh bapa bersama dua anak lelakinya itu mengeluarkan percikan api di bahagian enjin, selain mereka tersesat jalan ketika dalam perjalanan.

Sebak dengan dugaan dan kesusahan yang dilalui oleh keluarga tersebut, Ebit Lew tampil menghadiahkan sebuah motosikal baru buat mereka. Ebit Lew turut memberikan barangan dapur serta sedikit wang belanja.

“Sebak rasa baca pasal abang oku bersama 2 anaknya perlu bantuan di Johor dan motor terbakar dalam perjalanan. Abang polis johor cuba bantu beliau masa tu. Terima kaseh Polis Johor bersama saya hari ini.

“Syukur ramai datang bantu. Hari ini saya belikan motor baru hadiahkan untuk abang ini serta sedikit duit belanja. Kami juga bawa barang dapur untuk 84 keluarga disitu. Beras dan barang dapur dari Elewsmart,” tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Dalam pada itu, Ebit turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 84 buah keluarga yang tinggal di Perkampungan Orang Asli Kuala Masai itu.

“Sedih rasa bila Tok Batin tadi ucap terima kasih dan semua orang kampung situ kenal ajak bergambar. Allah tentukan dapat jumpa abang tadi. Comel jer anak-anak kecilnya.

“Ramai orang kampung situ ulang kali cakap terima kaseh walau cuma bantuan makanan untuk semua. Syukur banyak pihak ada hantar bantuan buat keluarga ini,” katanya.