Pakar: Pandemik Covid-19 Diramal Surut Akhir Tahun 2021

Melihatkan kes Covid-19 sudah mencapai empat angka, ia pasti mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat yang tertanya-tanya bilakah kesan pandemik itu akan surut serta dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Terbaru, pakar mendedahkan kes jangkitan Covid-19 dijangka surut tiga bulan selepas program pemvaksinan dilakukan, meliputi 80 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia.

Menurut pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata rakyat hanya mampu menarik nafas lega daripada kesan pandemik menjelang akhir tahun ini.

Katanya, imuniti kelompok yang bakal diperoleh Malaysia itu bagaimanapun tertakluk kepada kadar keberkesanan vaksin dan program pelalian kendalian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan rekod dan laporan semasa, kita mempunyai tiga kelompok utama yang bakal menerima vaksin iaitu petugas barisan hadapan yang paling diberikan keutamaan.

“Ia diikuti dua golongan lagi dan tidak termasuk mereka yang berusia bawah 18 tahun, justeru beberapa andaian berhubung imuniti kelompok berupaya diunjurkan.

“Mengikut perkiraan kasar, tiga kelompok itu masing-masing memerlukan tempoh sebulan selepas menerima dua dos suntikan vaksin untuk menghasilkan antibodi,” katanya.

Katanya lagi, jika kita hanya meletakkan sandaran atau harapan pada vaksin, kes COVID-19 di Malaysia dijangka reda menjelang akhir tahun ini.

SUMBER: BH Online