Sejak kebelakangan ini semakin banyak kes kemalangan melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Lebih menghayat hati angkara pemandu mabuk, kemalangan yang berlaku turut meragut nyawa orang lain.
Susulan itu ramai yang berharap agar pemandu mabuk dikenakan hukuman setimpal lebih-lebih lagi jika menyebabkan kematian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong memberitahu pemandu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadangkan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Beliau memaklumkan, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu yang membuat kesalahan tersebut.
“Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk kenalah ambil tanggungjawab dan pastikan diberi hukuman setimpal sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.
Untuk pengetahuan anda, mengikut undang-undang sedia ada, Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂